Alhamdulillah Ya ALLAH, hari ini diberi peluang untuk saya menulis semula di dalam blog yang telah lama kupinggirkan. Biarpun ada cerita yang ingin dikongsikan bersama namun banyak halangan yang membataskan untuk saya menulis.
Tulisan kali ini sekadar berkongsi sedikit kandungan buku LA TAHZAN. Banyak manfaat yang telah diperolehi daripada pembacaan buku tersebut . Hanya untuk menyemaikan budaya membaca secara berterusan perlu disemai dari peringkat kanak-kanak. Pada mereka yang seusia saya ada kemungkinan budaya membaca akan berkurang sekiranya banyak tuntutan kerjaya dan keluarga yang lebih diutamakan. Namun jika hendak seribu daya , jika tidak mahu seribu alasan. Biarpun bahan bacaan terpulang kepada individu namun biarlah sesuai dengan usia dan keadaan masa kini yang kian mencabar.
Perkongsian dari buku; LA TAHZAN - DR AIDH ABDULLAH AL-QARNI
.
Jangan bersedih, kerana kesedihan semalam yang kita alami sama sekali tidak memberi sebarang manfaat pada keesokkan hari.
Waktu untuk kita menikmati hidup di dunia ini terlalu singkat. Oleh itu isilah hidup ini dengan ketenangan dan kebahagiaan. Janganlah dibazirkan usia kita dengan mengenangkan kesedihan demi kesedihan.Hadapilah segala ujian dengan penuh kesabaran dan mintalah pertolongan Allah. Sesungguhnya setiap ujian dalam hidup adalah tanda kasih sayang dari Allah.Jadikan kegagalan semalam sebagai pengajaran buat kita bangkit semula dan melangkah lebih yakin untuk berjaya di masa depan.
Ingatlah Allah tidak pernah melupakan kita tetapi kita sebagai hambaNYA yang sering melupakanNYA.Bayangkan jika kita memiliki suatu keajaiban yang dapat mengubah kesedihan, dari mana sebenarnya keajaiban itu datang?
"Sesungguhnya manusia selalu memikirkan apa yang tidak kita miliki dan tidak berterima kasih kepada Tuhan atas segala apa yang telah dimiliki". Belajarlah menghargai segala apa yang kita miliki sebelum ianya hilang dalam genggaman kita.
Sebenarnya kekayaan sebenar buat diri kita adalah apa yang kita rasakan dalam hidup kita.Belajarlah bersyukur atas segala nikmat Allah yang tidak terhingga. Penuhi masa yang masih ada dengan senyuman yang ikhlas, teguhkan pendirian dan jangan putus asa.
"Janganlah kamu bersikap lemah dan janganlah pula kamu bersedih hati, padahal kamulah orang-orang yang paling tinggi darjatnya , jika kamu orang-orang yang beriman"- (Surah Al -Imran 139)