FIRMAN Allah SWT bermaksud: "Demi sesungguhnya adalah bagi kamu, pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang terbaik, iaitu orang yang sentiasa mengharapkan keredaan Allah dan (balasan baik) pada hari akhirat serta dia menyebut dan mengingati Allah (pada masa susah dan senang)." (Surah al-Ahzab, ayat 21)
Memperingati dan meraikan kelahiran Baginda SAW adalah satu tuntutan dan bukti kecintaan kita terhadap baginda.
Menurut jumhur ulama bahawa junjungan besar Nabi Muhammad SAW dilahirkan pada Isnin 12 Rabiul Awal Tahun Gajah bersamaan dengan 20 April 571 Masihi. Suasana dunia ketika baginda dilahirkan ke dunia terbahagi kepada dua kuasa besar iaitu empayar Rom dan Parsi. Rom mewakili dunia penganut agama Nasrani dan Parsi mewakili penganut Majusi (penyembah api).
Ketika itu kaum wanita dianggap masyarakat kelas dua. Mereka dilayan sebagai alat memuaskan nafsu semata-mata. Mereka diperdagangkan, perjudian dan arak adalah perkara biasa dan bukan dianggap suatu keaiban bagi masyarakat Jahiliah.
Kelahiran anak perempuan adalah satu kehinaan di sisi masyarakat Arab Jahiliah. Mereka sanggup membunuh anak perempuan bagi menjaga maruah di sisi kaum mereka.
Tegasnya, sebelum kelahiran Nabi Muhammad SAW, dunia berada di persimpangan kegelapan moral dan tauhid.
Diceritakan bahawa kelahiran Nabi SAW itu dikenali Tahun Gajah sempena tewasnya tentera bergajah Raja Abrahah yang beragama Kristian mengerah tenteranya ke Makkah untuk meruntuhkan Kaabah bagi masyarakat dunia bertumpu ke gereja yang dibina di Syam, ibu kota Yaman seperti dirakamkan dalam al-Quran yang bermaksud: ”Tidakkah kamu melihat bagaimana Tuhan kamu memperlakukan terhadap tentera bergajah (yang hendak meruntuhkan Kaabah).” (Surah al-Fiil, ayat 1)
Kemudian pada akhir ayat Allah berfirman bermaksud: “Dan Allah mengutuskan ke atas mereka burung ababil yang melontarkan mereka dengan batu daripada tanah yang dibakar (sijjil). Maka jadilah mereka seperti daun-daun yang dimakan (ulat).” (Surah al-Fiil, ayat 5)
Bapa Nabi SAW ialah Abdullah bin Abdul Muttalib seorang pedagang dari Syam yang meninggal dunia ketika baginda berusia enam bulan dalam kandungan. Dikisahkan ketika baginda dilahirkan, Nabi SAW tidak menangis seperti bayi lain. Apabila Nabi berpaling ke arah Parsi, api sembahan kaum Majusi di Parsi (Iran) terpadam dengan tiba-tiba. Apabila berpaling ke arah ibu kota Rom, istana maharaja Rom bergegar, Raja Rom memerintahkan agar dicari dan dibunuh bayi berkenaan.
Perkara ajaib yang berlaku adalah mukjizat kenabian yang Allah tunjukkan bagi tujuan agar masyarakat Arab dan dunia memberi perhatian dan mengenali dengan Nabi Muhammad SAW. Ia juga sebagai suatu hikmah yang mana ia dapat menjawab segala tohmahan orientalis yang ingin merosakkan nama baik dan peribadi Nabi yang sebenarnya dipelihara oleh Allah sejak lahir lagi.
Siti Aminah, bonda Nabi ditakdirkan meninggal dunia ketika usia Nabi enam tahun. Kemudian baginda dipelihara datuknya Abdul Muttalib. Pada usia lapan tahun, Abdul Muttalib pula meninggal dunia dan Abu Talib, bapa saudara Nabi memeliharanya sehingga baginda meningkat dewasa dan membawanya ke Syam untuk berjumpa pendeta Nasrani, Buhara/Bahira serta melihat tanda nubuwah Nabi. Pendeta itu memperingatkan Abu Talib agar menjaga Muhammad daripada orang Yahudi dan Nasrani, jika mengetahuinya mereka akan membunuh anak saudaranya itu.
Pengajaran dan iktibar daripada kisah perjalanan hidup (sirah) Nabi Muhammad SAW ketika lahir dan dibesarkan oleh Abu Talib penuh dengan liku, menjadi anak yatim pada usia kecil memang satu dugaan besar. Ini membentuk jiwa yang kental, sabar dan tabah.
Mukjizat yang berlaku terhadap Nabi pada saat kelahirannya dan sepanjang zaman membuktikan bahawa Nabi akhir zaman itu sebagai pemimpin dan penyelamat umat manusia sejagat.
Memperingati ulang tahun kelahiran Nabi SAW memang digalakkan tetapi hendaklah bersesuaian dengan cara yang tidak bercanggah dengan syariat agama.
Hendaklah umat Islam mengikuti sunnahnya, bercakap benar (siddiq), beramanah (amanah), menyampaikan (tabligh) dan bijaksana (fatanah). Antara sunnah harian Nabi ialah membaca doa sebelum dan selepas makan. Membaca doa sebelum dan apabila bangun tidur. Membaca doa sebelum keluar dan ketika balik ke rumah. Masuk tandas dengan kaki kiri dan doa, keluar tandas dengan kaki kanan dan doa. Mengucup hujung jari selepas makan, membaca doa selepas wuduk, membaca doa semasa pergi ke masjid, masuk masjid dan keluar masjid, membaca doa ketika memulakan (menaiki) kenderaan.
Sirah Nabi ketika kecil tidak pernah menyembah berhala dan terbabit dalam kehidupan sosial Arab Jahiliah yang penuh kekufuran dan kesyirikan. Menyayangi orang miskin, ibu tunggal, anak yatim dan berusaha membantu mereka, selain menghindari semua kejahatan Jahiliah seperti judi, minuman keras dan sebagainya. Berkelakuan lemah lembut sehingga Baginda dikenali sebagai as-Siddiq (yang benar) dan al-Amin (yang dipercayai).
Nabi SAW pernah melihat Yahudi berpuasa asyura sempena memperingati kisah terselamatnya Nabi Musa daripada Firaun, dan bersabda : “Kami adalah lebih berhak daripada kamu mengenai Musa (amalan berpuasa).” Maknanya, Nabi sendiri memperingati peristiwa agama. Maka sudah tentulah kita umat Islam perlu mengingati kelahiran Nabi SAW.
Kita digalakkan memohon kepada Allah SWT agar diberi dorongan dan kekuatan untuk terus berusaha menjadi umat Nabi Muhammad SAW yang terbaik (khaira ummah) dan sebagai ummatan wasata (umat pilihan/umat teladan) dan menjadi saksi di antara sekalian umat manusia sejagat.
Firman Allah bermaksud: “Supaya Rasulullah (Muhammad) menjadi saksi yang menerangkan kebenaran perbuatan kamu dan supaya kamu pula layak menjadi orang yang memberi keterangan kepada umat manusia. Oleh itu dirikanlah sembahyang dan berilah zakat, serta berpegang teguhlah kamu kepada Allah. Dialah Pelindung kamu, dan Dialah sebaik-baik Pelindung dan sebaik-baik Pemberi pertolongan.” (Surah al-Hajj, ayat 78) Berita Harian Online | Nabi Muhammad penyelamat maruah wanita daripada kehinaan
No comments:
Post a Comment