Oleh Suffian A Bakar
2011/05/24
EKONOMI Malaysia kini berada di kedudukan lebih baik untuk menyerap kesan peningkatan kos susulan kenaikan harga bahan api, kata Gabenor Bank Negara, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz.
Katanya, ekonomi negara ketika ini adalah lebih pelbagai, justeru, kesannya agak kurang berbanding situasi pada 2008 apabila harga minyak meningkat kepada AS$147 setong, paras tertinggi dalam sejarah.
“Oleh itu, kesannya tidak akan seburuk seperti sebelum ini,” katanya kepada media selepas menyampaikan ucaptama pada majlis pelancaran platform pemikiran kepimpinan ‘Leading Voices’ di Pusat Kepimpinan Kewangan Antarabangsa (ICLIF) di Kuala Lumpur, semalam.
Namun, Zeti berkata, Bank Negara berkemungkinan menaikkan unjuran kadar inflasi tahun ini jika harga barangan kawalan, termasuk bahan api dan makanan, naik lebih tinggi daripada jangkaan,
“Bank Negara sudah mengambil kira faktor kenaikan harga barangan kawalan ini apabila mengunjurkan inflasi pada kadar purata tiga peratus hingga 3.5 peratus untuk tahun ini.
“Tetapi jika kenaikan harga itu lebih tinggi daripada apa yang kami jangkakan, kadar inflasi akan disemak semula,” katanya.
Zeti berkata, sememang wujud kaitan antara kenaikan harga minyak mentah dan peningkatan kadar inflasi khususnya terhadap permintaan domestik, namun kerajaan sedang berusaha sebaik mungkin untuk mempelbagai serta meningkatkan kecekapan bagi mengurangkan tekanan kenaikan harga.
“Permintaan domestik akan menerima kesan kerana ia akan membawa kepada peningkatan kos pelaburan dan tekanan ke atas penggunaan susulan perbelanjaan ke atas makanan serta bahan api adalah lebih tinggi. Ia akan menyebabkan pendapatan boleh belanja bagi tujuan lain, selain bahan api dan makanan berkurangan,” katanya.
Namun, Zeti menjelaskan, negara sudah bergerak ke arah meningkat kecekapan dan jika semua langkah yang sudah dirancangkan itu dilaksanakan, ia berupaya meningkatkan jumlah pengeluaran, justeru, menyokong pelaburan untuk tempoh selanjutnya.
Malah, katanya, ketika ini sudah ada peningkatan dalam momentum pelaburan dan ia suatu perkembangan positif.
No comments:
Post a Comment