Tuesday, January 24, 2012

Pengeluar tempatan diminta cari pasaran baharu

ARKIB : 19/08/2011

KUALA LUMPUR 18 Ogos – Pengeluar-pengeluar Malaysia disaran mencari pasaran baharu bagi produk dan perkhidmatan masing-masing berikutan pertumbuhan sederhana 4.0 peratus bagi suku kedua yang diumumkan oleh Bank Negara Malaysia semalam.

Presiden Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM), Tan Sri Mustafa Mansur berkata, data terbaru ini, serta keadaan-keadaan ekonomi yang tidak memberangsangkan di Amerika Syarikat (AS) dan Eropah akan memberi kesan kepada pengeluar-pengeluar.

Bercakap kepada pemberita selepas melancarkan Jelajah ICT Taiwan 2011 di sini hari ini, beliau menegaskan bahawa pengeluar-pengeluar harus mempergiat perdagangan dalam ekonomi-ekonomi berkembang lain seperti China, Taiwan dan India untuk mengurangkan kesan negatif itu.

“Pengeluar-pengeluar haruslah mencari lebih banyak pasaran bukan tradisi selain rakan dagang tradisi kita seperti AS dan Eropah,” katanya.

Beliau berkata, pengeluar-pengeluar juga harus tahu tentang perubahan-perubahan yang berlaku di kalangan pengguna hari ini dengan melengkapkan diri dengan maklumat-maklumat mengenai trend terbaru.

“Pengeluar-pengeluar mestilah sentiasa inovatif melalui penghasilan produk dan perkhidmatan baharu untuk menampung perubahan-perubahan ini,” kata Mansur.

Mengenai peranan kerajaan, Mansur berkata, ia boleh membantu dengan menandatangani lebih banyak perjanjian perdagangan bebas (FTA) untuk membuka pasaran-pasaran baharu, kerana sukar bagi pengeluar untuk bergantung kepada pasaran tempatan yang agak kecil dengan penduduk yang berjumlah kira-kira 28 juta.

Siri jelajah ini menghimpun 16 syarikat dari Taiwan kerana negara itu menginginkan kerjasama yang lebih erat dengan Malaysia dalam sektor ICT. Lebih daripada 10 syarikat ICT datang ke Malaysia tahun lepas untuk meninjau peluang mengadakan perkongsian perniagaan.

“Teknologi maju Taiwan bakal menjadi pelengkap yang kena pada masanya dalam memenuhi keperluan transformasi Malaysia,” kata Timbalan Wakil Pejabat Ekonomi dan Kebudayaan Taipei di Malaysia, Lin Min-Li. – BERNAMA

No comments:

Post a Comment