Showing posts with label Agama. Show all posts
Showing posts with label Agama. Show all posts

Thursday, August 18, 2011

Kelebihan RAMADHAN

Kepada saudara seagamaku "SELAMAT BERPUASA" semoga ibadah tahun ini lebih baik dari tahun lepas.Kedatangan Ramadan amat dinantikan kerana inilah peluang untuk merebut rahmat,keberkatan, keampunan dan pembebasan dari siksaan api neraka.

Telah diriwayat oleh Ibnu Khuzaimah dan Ibnu Hibban: Nabi bersabda, "Bukanlah berpuasa itu semata-mata meninggalkan makan dan minum tetapi puasa ialah meninggalkan perbuatan sia-sia dan cakap kosong. Jika sesiapa dimaki atau diperbodohkan oleh seseorang katakanlah, aku berpuasa"

Dari Abi Mas'ud Al-Ghifari r.a katanya: Rasulullah SAW bersabda," Jikalau para hamba itu mengetahui apa dia Ramadhan, nescaya umatku berangan agar setahun itu kesemuanya Ramadhan." (Riwayat Ibnu Khuzaimah)

Apabila kita berpuasa mengikut sunnah Rasulullah SAW, hati muslim menjadi lembut dan takut pada azab ALLAH. Muslim akan lebih teliti dengan tindak tanduknya.

Puasa menjanjikan perubahan bagi mereka yang bertaqwa kerana beribadah dan mengisi masa dengan amalan kebaikan untuk mencari redha Illahi. Taqwa ialah kekuatan dalaman anugerah ALLAH untuk manusia berhadapan dengan fitrah hidup ini dengan selamat hingga ke akhirat. Antara ibadah yang biasa diamalkan di bulan ini ialah:
i. Membaca Al-Quran
ii. Solat Terawih ialah merehatkan hati dengan mendengar bacaan para imam yang mengimami solat Terawih
iii. Bertaubat ialah menyesali dosa-dosa lalu dan ingin berubah menjadi taat
iV. Beribadah pada Lailatul Qadar membawa keampunan dan kebajikan seumpama beribadah seribu bulan
v Beriktikaf ialah mengasingkan diri di masjid dengan menginsafi diri untuk
memperbaiki diri dan umat
vi Zakat Fitrah ialah tanda kesyukuran atas nikmat ALLAH hingga ingin dikongsi dengan orang yang memerlukan

Saturday, August 28, 2010

KELEBIHAN SEORANG WANITA SOLEHAH

Sekadar perkongsian ilmu untuk muhasabah diri.Adakah kita mampu mencapai taraf wanita solehah? "Wahai Tuhan kami, berikanlah kepada kami pahala yang telah Engkau janjikan kepada kami, melalui Rasul-rasulMu dan janganlah Engkau hina kami pada hari Kiamat. Sesungguhnya Engkau tidak memungkiri janji."(Maksud ayat 194 Surah Ali-Imran)

Seorang wanita solehah adalah lebih baik daripada 70 wali.Wanita yang melayan suami dengan baik akan mendapat pahala jihad. Wanita yang melihat suaminya dengan kasih sayang dan suami yang melihat isterinya dengan kasih sayang akan dipandang Allah dengan penuh rahmat.Wanita yang menyebabkan suaminya keluar dan berjuang ke jalan Allah dan kemudian menjaga adab rumahtangga akan masuk syurga 500 tahun lebih awal daripada suaminya.

Wanita yang habiskan malamnya dengan tidur yang tidak selesa kerana menjaga anaknya yang sakit akan diampunkan oleh Allah seluruh dosanya dan akan mendapat pahala seperti membebaskan 20 orang hamba.

Wanita yang menyapu lantai dengan berzikir akan mendapat pahala seperti menyapu lantai di Baitullah. Wanita yang menjaga solat, puasa dan taat pada suami , Allah akan mengizinkannya memasuki syurga dari mana-mana pintu yang dia suka.Wanita yang meninggal dunia dengan keredhaan suaminya akan memasuki syurga.Semua orang akan dipanggil untuk melihat wajah Allah di akhirat tetapi Allah akan datang sendiri kepada wanita yang menjaga auratnya di dunia dengan istiqamah.

5 RAHSIA PUASA

Dr Yusuf Qardawi dalam kitabnya "Al-Ibadah Fil Islam" mengungkapkan 5 rahsia utama puasa yang membolehkan kita merasakan kenikmatan dalam ibadah ini.

1.MENGUATKAN JIWA

Dengan berpuasa , manusia akan menguasai nafsunya yang membuatkan jiwanya menjadi kuat. Dengannya manusia memperolehi darjat tinggi serta menjadikannya mampu mengetuk dan membuka pintu langit hingga segala doanya dimakbulkan Allah.

Rasullullah bersabda yang bermaksud: " Ada tiga golongan yang tidak ditolak doa mereka, Orang yang berpuasa hingga berbuka, pemimpin yang adil dan doa orang yang dizalimi."(Hadis riwayat at-Tirmizi)

2.MENDIDIK KEINGINAN KEARAH KEBAIKAN

Puasa mendidik seseorang memiliki keinginan kepada kebaikan meskipun menghadapi pelbagai rintangan. Puasa yang dikerjakan secara terbaik memberi kekuatan rohani yang unggul supaya seseorang itu tidak akan lupa diri meskipun sudah mencapai kejayaan dan tidak berputus asa dengan penderitaan yang dialaminya.

3.MENYIHATKAN BADAN

Puasa memberikan pengaruh positif berupa kekuatan rohani dan kesihatan jasmani(tubuh dan anggota badan).Hal ini tidak hanya dinyatakan oleh Rasulullah malah dibuktikan oleh doktor atau ahli perubatan.

4.MENGENAL ERTI KENIKMATAN DAN BERSYUKUR

Dalam hidup ini terlalu banyak kenikmatan yang diberikan oleh Allah kepada manusia tetapi ramai yang tidak mensyukurinya.Maka berpuasa akan mendidik manusia menyedari betapa tingginya nilai kenikmatan yang Allah berikan supaya kita sentiasa menjadi orang yang pandai bersyukur dan tidak mengecilkan erti kenikmatan daripada Allah.

Allah telah berfirman yang bermaksud: "Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti Kami akan menambah(nikmat) kepadamu dan jika kamu mengingkari(nikmatKu) maka sesungguhnya azabKu sangat pedih."(Surah Ibrahim: ayat7)

5.MENGINGATI DAN MERASAI PENDERITAAN ORANG LAIN

Berlapar dan dahaga memberikan pengalaman bagaimana beratnya penderitaan yang dirasakan orang lain.Puasa juga akan melahirkan dan memantapkan rasa simpati kepada kaum muslimin lainnya yang hidup dalam kemiskinan dan menderita.Oleh itu sebagai simbol daripada rasa simpati itu, sebelum bulan Ramadan berakhir kita diwajibkan membayar zakat fitrah. Zakat bukan hanya menjaga kepentingan orang miskin tetapi menghilangkan kekotoran jiwa berkaitan harta seperti gila harta dan kikir.

Allah berfirman yang bermaksud: " Ambillah zakat daripada sebahagian harta mereka dengan zakat itu kamu membersih dan menyucikan mereka dan berdoalah untuk mereka. Sesungguhnya doa kamu itu menjadi ketenteraman jiwa bagi mereka. Dan Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui"( Surah At-Taubah: ayat 103)