Showing posts with label bicara hati. Show all posts
Showing posts with label bicara hati. Show all posts

Tuesday, May 24, 2011

HUJAN TURUN LAGI


Andai hujan turun lagi
bak rintihan pilu seorang perindu
lemparkan senyuman dalam tangisan
menanti belas kasih sayang ILLAHI

Tatkala hujan turun lagi
hapuskan dosa, makbulkan doa
Insaflah wahai makhluk dunia
perbuatan sendiri menjadi punca

Bila hujan turun lagi
pelbagai tragedi telah terjadi
Pabila manusia mudah lupa diri
mensyukuri nikmat alam semulajadi

Biarlah hujan turun lagi
bawalah rahmat seisi alam
menyirami hati yang kian gersang
menyuburkan rezeki ciptaan Tuhan

Saturday, September 4, 2010

PadaMu ku bersujud

Hari ini hari terakhir sebelum cuti sekolah dan cuti hari raya bermula.Dalam mengharungi kesesakan lalulintas aku melayan alunan lagu di radio. Secara tiba-tiba hatiku tersentuh bila mendengar lagu "PadaMu ku bersujud-Afgan".Terasa banyaknya dosa yang sengaja dan tidak sengaja telah kulakukan selama ini. Sebagai manusia biasa kita sering lalai dan terlupa tujuan asal kita hidup di dunia ini.Kadang kala disebabkan kekangan masa menyebabkan kita lebih mendahulukan urusan dunia berbanding urusan akhirat. Sehinggakan kita terlupa segala kurniaanNya. Terlalu banyak nikmat yang telah kita kecapi tanpa kita mensyukurinya.

"Wahai Tuhan kami, rahmat-Mu dan ilmu-Mu meliputi segala-galanya, maka berilah keampunan kepada orang-orang yang bertaubat serta mengikut jalan-Mu dan peliharalah mereka dari azab api neraka."
(Maksud ayat 7 Surah Al-Mukmin)

PadaMu ku bersujud
Ku menatap dalam gelap
tiada yang bisa kulihat
selain hanya namaMu Ya Allah

Esok ataukah nanti
ampuni semua salahku
lindungi aku dari
segala fitnah

Kau tempat ku meminta
Kau beriku bahagia
jadikan aku selamanya
hambaMu yang selalu bertaubat

ampuniku Ya Allah
yang sering melupakanMu
saat kau limpahkan
kurniaMu
dalam sunyi aku bersujud

Monday, August 16, 2010

PERMATA HATI



Selamat Ulangtahun kelahiran ke 10 moga kau menjadi anak yang solehah. Itulah harapan ummi sejak kau dalam kandungan lagi. Begitu tinggi harapan ummi buatmu kerana terlalu banyak cabaran yang ummi lalui sepanjang menanti kelahiran "permata hati".

Setelah kau dilahirkan barulah senyap sedikit fitnah yang dilemparkan kepada kami. Apalah daya kami, semua orang mampu merancang tetapi perancangan Allah yang terbaik dan perlu kita syukuri . Semua pasangan yang berumahtangga inginkan cahayamata namun rezeki Allah yang tentukan.

Wahai anak-anakku jadilah anak yang menjadi ketenangan jiwa kami, pembawa bahagia di dunia dan akhirat. Teringat ummi akan nasihat ustaz suatu ketika dahulu iaitu "selalulah berdoa moga dikurniakan zuriat yang terbaik dan berkualiti".Sebenarnya Allah sayangkan hambaNYA, sebab itu kita terus diuji...

Surat terbuka buat Kak Wan Fauziah Wan Yusoff



Tahniah buat Kak Wan kerana dapat menamatkan perkhidmatan dengan jayanya.
Selamat bersara.

Saya berbangga dapat mengenali Kak Wan biarpun dalam tempoh yang terhad.Keramahan dan kemesraan yang terjalin hampir dua tahun membuatkan saya terasa seperti sudah lama mengenali Kak Wan.Terasa sedih untuk berpisah dengan Kak Wan yang banyak mencurahkan bakti untuk meningkatkan prestasi Ekonomi Asas sekolah kita. Namun saya tahu, saat bersara menjadi detik yang dinantikan setelah sekian lama berkhidmat sebagai guru.Sesungguhnya pertemuan dan perpisahan merupakan lumrah kehidupan yang harus lalui.Kini yang tinggal hanyalah kenangan terindah untuk dikongsi bersama.

Kak Wan begitu berfikiran positif. Biarpun telah ditawarkan jawatan sebagai pengetua namun Kak Wan rela melepaskan jawatan itu untuk menjadi guru biasa demi mendidik anak bangsa tercinta. Kak Wan juga pernah menjawat jawatan PK1 di sekolah lama tapi Kak Wan tidak lokek untuk berkongsi ilmu dan bekerja bersama saya walaupun saya lebih muda. Saya tahu dalam hidup kita perlu sanggup membuat pengorbanan.

Saya kagum dengan kesungguhan kak Wan untuk menyiapkan Modul Ekonomi Asas Tingkatan 4 sebelum berangkat ke Mekah. Walaupun sebok dan kurang sihat namun tetap berusaha menyiapkannya untuk digunakan sepenuhnya pada tahun 2010. Saya faham bukan mudah untuk mendekati pelajar 4C dan 4D, namun kecekalan Kak Wan mendidik mereka membuatkan saya terharu.

Pepatah sering menyatakan, "patah tumbuh, hilang berganti", namun sesuatu yang datang tidak sama dengan yang telah pergi.Didoakan moga Kak Wan lebih ceria dan bahagia bersama keluarga tersayang meneruskan kehidupan selepas bersara.

Friday, July 30, 2010

BICARA HATI SEORANG PELAJAR

Telah ku habisi
siang-siang yang pergi
malam-malam yang lalu
bersama senyuman yang pedih
ketawa yang penuh duka
dalam sebuah penantian

Lalu kututup
diari seorang pelajar
yang cuma tertulis rahsia-rahsia lara
yang terselit sepi-sepi yang panjang
dan kuntum rindu yang telah hilang

Di daerah ini
telah kutumpahkan keringat bakti
bersama kasih yang tinggal saki-baki
dalam diri yang telah mati

Jauh dilubuk kalbu
berbisik syahdu suara hati
yang mengenali sebutir rasa
yang mengerti akan diri ini

Matiku...
tiada kesempatan sisa-sisa waktu
untuk sebuah pertemuan dalam perkenalan
kucium tangan kalian dalam bayangan rasa
dan kuhulur jejari kasar ini
tanda memohon kemaafan....

Wednesday, July 21, 2010

KENANGAN

KENANGAN ITU KADANGKALA TERAMAT PAHIT UNTUK DIREDAH TETAPI IA TERLALU MANIS UNTUK DIKENANG.Hidup kita tak selalu indah tetapi YANG INDAH TETAP HIDUP DALAM KENANGAN.

Sebenarnya hidup ini sentiasa indah jika kita tahu menghargainya. Kita sering mencari bahagia dan asyik menanti kehadiran hari esok. Adakah kita pasti esok masih ada?

Oleh itu jika kita tak dapat apa yang kita suka , belajarlah menyukai apa yang kita telah dapat dan bersyukurlah dengan apa yang kita ada. Kita selalunya terlupa untuk menghargai apa yang telah kita miliki sehinggalah kita kehilangannya.

Kita tidak perlu mencari seorang insan yang sempurna untuk dijadikan teman setia, cukuplah kita mengenali seorang insan yang dapat menjadikan kita rasa sempurna apabila bersamanya.