Showing posts with label Tazkirah. Show all posts
Showing posts with label Tazkirah. Show all posts

Tuesday, July 5, 2011

RENUNGAN

ALLAH MAHA PENCIPTA, andainya kita sedar tugas kita sebagai hambaNYA sudah semestinya kita akan tunduk taat akan perintahNYA dan meninggalkan segala laranganNYA. Namun sifat manusia yang mudah lupa walaupun telah berulang kali diberi peringatan atau sengaja kita tidak mahu mengambil peringatan menyebabkan ramai yang terus lalai . Ada manusia yang terus berbangga dengan harta kemewahan,kepandaian dan kecantikan. Lantas dengan lantang menyatakan apa yang dimiliki adalah atas usaha mereka sendiri. Sehingga terlupa semua kelebihan itu adalah pinjaman dari Allah untuk menguji tahap keimanan setakat mana dia bersyukur atas kurniaanNYA. Manusia boleh hidup walau diuji dalam kemiskinan tetapi selepas menjadi kaya selalunya akan lupa akan kesusahan orang lain.

Oleh itu biarpun taraf manusia sebagai HAMBA ALLAH namun ada yang secara terang terus menderhaka kepada PENCIPTANYA kerana kebanyakan kita tidak merasa tua untuk bertaubat malah sentiasa muda untuk melakukan dosa..

Thursday, April 7, 2011

Doa senjata umat Islam

Berita Harian(6/4/2001-Penulis asal Hizbur Rahman)
DOA adalah antara ibadat sunat yang sangat dituntut supaya dilakukannya. . Kita dikehendaki berdoa untuk memohon sesuatu hajat tanpa mengira masa dan keadaan kerana mengharapkan pertolongan dan rahmat Allah. Pintu rahmat Allah sentiasa terbuka untuk hamba-Nya.

Pada hakikatnya, doa adalah penyataan hajat seorang hamba kepada Allah dan pengakuannya bahawa keupayaan dan kekuatan semata-mata milik Allah. Ia adalah lambang pengabdian dan rasa rendah diri dengan keagungan Allah yang menciptanya. Dalam doa juga terkandung pujian dan sandaran sifat pemurah dan penyayang kepada Allah SWT.
Sesungguhnya doa disyariatkan supaya hamba rasa berharap-harap untuk mencapai keinginannya. Rasa itu mendorong manusia berusaha untuk mendapatkanya. Ingin memperoleh sesuatu menjadikan manusia kuat bekerja dan berusaha. Harap dan bimbang itu paksi ibadah yang menuntut kesungguhan dan kerajinan dalam mengerjakannya.

Dengan senjata (doa) itu, Nabi Noh terselamat, kaumnya yang kafir tenggelam dalam taufan. Nabi Musa terselamat daripada kezaliman Firaun laknatullah. Dengan senjata doa Nabi Soleh terselamat dan kaum Thamud binasa. Dengan doa Nabi Hud berjaya dan kaum A’ad kecundang dan dengan doa juga junjungan besar kita, Nabi Muhammad SAW menempa kejayaan gemilang dan kaum Musyrikin penentangnya tersungkur. Bangsa Rom dan Parsi juga tumbang di tangan sahabat Baginda, hasil daripada kekuatan senjata(doa) itu.
Abu Daud At-Tarmidzi dan Ibnu Majjah ada meriwayatkan yang maksudnya: “Daripada An-Nu’man bin Bashir, berkata Rasulullah SAW bersabda: Doa adalah ibadat. An-Nu’man menjelaskan lagi selepas itu Rasulullah SAW membaca ayat ke-60 daripada Surah Ghafir yang bermaksud: “Dan tuhan kamu berfirman: Berdoalah kamu kepadaku, nescaya aku akan perkenankan doa permohonan kamu. Sesungguhnya orang yang sombong takbur daripada beribadat dan berdoa kepada-Ku, akan masuk neraka jahanam dalam keadaan hina.”
Sebenarnya setiap doa pasti akan dikabulkan Allah SWT asalkan ia bertujuan baik, seperti mengharapkan kesejahteraan dunia dan akhirat, murah rezeki, kesihatan yang baik, tambahan ilmu yang baik, peningkatan iman dan sebagainya. Sebaliknya Islam sangat melarang dan mengharamkan doa yang bertujuan tidak baik, seperti minta dimatikan atau dibinasakan, kerana tidak mampu menghadapi dugaan Allah dan meminta Allah menurunkan bala’ ke atas orang yang didengkinya. Selain itu, kemuliaan doa juga, tidak boleh dicemarkan melalui upacara yang bertentangan dengan syariat Islam.

Antara waktu terbaik berdoa ke hadrat Ilahi seperti waktu berangkat ke medan perang untuk menegakkan atau mempertahankan agama Allah, ketika hujan, sewaktu berbuka puasa, dalam sujud dan dalam musafir yang bertujuan baik lagi diharuskan.

Wednesday, April 6, 2011

LAMBAIAN TANAH SUCI






Masih terasa rindu dan sayu bila mengenangkan perjalanan semasa mengerjakan umrah. Bukan bertujuan untuk bermegah tetapi sekadar perkongsian catatan seorang hamba Allah yang datang ke Tanah Suci tetapi sarat dengan dosa .

Terasa amat terharu ketika Ustaz Ali ( Mutawwif Tiram Travel) memberikan taklimat dan mengingatkan para jemaah membetulkan niat bahawa kedatangan kita ke tanah suci adalah untuk beribadah kerana Allah. Oleh sebab itu bersyukurlah kerana terpilih dan bukannya kita datang kerana kemampuan kewangan kita. Beliau menasihatkan kami supaya sentiasa bersabar, berdoa dan bertawakkal dengan sebarang ujian ketika di tanah suci. Berderai air mata tatkala menghayati segala pesanan dari beliau. Waktu itu terasa begitu berat untuk meneruskan langkah apabila teringat akan segala dosa yang pernah dilakukan sama ada secara sengaja atau tidak. Memang sifat kita sebagai manusia selalu lupa dan lalai menjalankan kewajipan kepada Allah dan mensyukuri segala nikmatNYA. Hati semakin berdebar-debar memikirkan apakah ujian yang bakal diturunkan oleh Allah untuk menguji keimanan hambaNYA yang lemah.

Setibanya di Madinah, hati merasa kagum melihat keindahan bangunan Masjid Nabawi. Terasa perasaan bercampur baur antara rindu, sayu dan hiba dengan perjuangan Rasullullah yang sanggup berkorban nyawa asalkan syiar Islam terus berkembang. Terasa kerdil sangat diri ini kerana mengaku umat Rasulullah dan mengharapkan syafaatnya tetapi masih lalai dengan urusan dunia. Kehadiran umat Islam yang berpusu-pusu untuk mengerjakan solat Jumaat membuat hati ini terharu melihat umat Islam dari pelbagai negara mahupun bangsa datang dengan niat yang satu iaitu untuk mengabdikan diri pada Yang Esa. Di samping beribadah, aktiviti jual beli tetap meriah di luar waktu solat. Ketika waktu solat berjemaah berlangsung,semua premis perniagaan akan ditutup sementara waktu .Terdapat banyak barang jualan di niagakan antaranya jubah, minyak wangi dan sebagainya. Sepanjang berada di Madinah kami dibawa melawat persekitaran kota Madinah dan tempat bersejarah termasuk Masjid Quba,Masjid Qiblatain, Perkuburan para Syuhada, Pergunungan Uhud dan Pasar Kurma. Selepas tiga hari di Madinah, kami membuat Ziarah Wida' sebagai tanda hormat sebelum meninggalkan kota Madinah dan menuju ke Mekah untuk memulakan ibadah umrah .

Bermula di Miqat Bir Ali untuk solat sunat ihram dan berniat ihram, seterusnya menyempurnakan umrah dengan bimbingan Mutawwif. Apabila terpandang Kaabah dengan pantas airmata bercucuran kerana inilah kiblat umat Islam seluruh dunia. Inilah kebesaran Allah yang menyatukan hati-hati umat Islam dan terus melimpahkan rahmat kepada semua isi makhluk ciptaanNYA. Bila melihat jemaah lelaki memakai pakaian ihram, terbayang di mata inilah pakaian umat Islam di dalam kubur. Biarpun kaya dengan harta dunia tetapi ketika mati jasad hanya dibalut dengan kain putih sahaja. Tinggallah segala harta yang dihimpunkan semasa sehat untuk waris-warisnya. Sewaktu di Mekah kami dibawa melawat ke Hudaibiyah, Jabal Nur(Gua Hira'), Jabal Thur(Gua Thur), Jabal Rahmah, Padang Arafah, Mina, Muzdalifah dan Masjid Ja'aranah. Sepanjang lima hari di Mekah, kami diberi peluang mengerjakan umrah dengan bimbingan mutawwif atau secara sendirian. Keadaan yang sama seperti di Madinah, aktiviti jual beli diberhentikan seketika untuk menghormati lima waktu solat berjemaah di Masjidil Haram. Sebelum meninggalkan tanah Mekah, kami mengerjakan Tawaf Wida' secara berkumpulan.

Biarpun menghadapi pelbagai ujian yang datang sebelum, semasa dan selepas melaksanakan ibadah umrah, di hati tetap berdoa dan mengharapkan agar ibadah umrah semua jemaah akan di terima Allah. InsyaAllah

Monday, February 14, 2011

MAULIDUR RASUL

BH 14/2/2011-Ibrahim Abdullah
FIRMAN Allah SWT bermaksud: "Demi sesungguhnya adalah bagi kamu, pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang terbaik, iaitu orang yang sentiasa mengharapkan keredaan Allah dan (balasan baik) pada hari akhirat serta dia menyebut dan mengingati Allah (pada masa susah dan senang)." (Surah al-Ahzab, ayat 21)

Memperingati dan meraikan kelahiran Baginda SAW adalah satu tuntutan dan bukti kecintaan kita terhadap baginda.
Dalam al-Quran banyak diceritakan mengenai kelahiran Nabi SAW sebagai pembawa rahmat bagi sekalian alam. Firman Allah bermaksud: “Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad) melainkan untuk menjadi rahmat bagi seluruh alam.” (Surah al-Anbiyaa’, ayat 107)

Menurut jumhur ulama bahawa junjungan besar Nabi Muhammad SAW dilahirkan pada Isnin 12 Rabiul Awal Tahun Gajah bersamaan dengan 20 April 571 Masihi. Suasana dunia ketika baginda dilahirkan ke dunia terbahagi kepada dua kuasa besar iaitu empayar Rom dan Parsi. Rom mewakili dunia penganut agama Nasrani dan Parsi mewakili penganut Majusi (penyembah api).

Ketika itu kaum wanita dianggap masyarakat kelas dua. Mereka dilayan sebagai alat memuaskan nafsu semata-mata. Mereka diperdagangkan, perjudian dan arak adalah perkara biasa dan bukan dianggap suatu keaiban bagi masyarakat Jahiliah.
Kelahiran anak perempuan adalah satu kehinaan di sisi masyarakat Arab Jahiliah. Mereka sanggup membunuh anak perempuan bagi menjaga maruah di sisi kaum mereka.
Tegasnya, sebelum kelahiran Nabi Muhammad SAW, dunia berada di persimpangan kegelapan moral dan tauhid.

Diceritakan bahawa kelahiran Nabi SAW itu dikenali Tahun Gajah sempena tewasnya tentera bergajah Raja Abrahah yang beragama Kristian mengerah tenteranya ke Makkah untuk meruntuhkan Kaabah bagi masyarakat dunia bertumpu ke gereja yang dibina di Syam, ibu kota Yaman seperti dirakamkan dalam al-Quran yang bermaksud: ”Tidakkah kamu melihat bagaimana Tuhan kamu memperlakukan terhadap tentera bergajah (yang hendak meruntuhkan Kaabah).” (Surah al-Fiil, ayat 1)
Kemudian pada akhir ayat Allah berfirman bermaksud: “Dan Allah mengutuskan ke atas mereka burung ababil yang melontarkan mereka dengan batu daripada tanah yang dibakar (sijjil). Maka jadilah mereka seperti daun-daun yang dimakan (ulat).” (Surah al-Fiil, ayat 5)

Bapa Nabi SAW ialah Abdullah bin Abdul Muttalib seorang pedagang dari Syam yang meninggal dunia ketika baginda berusia enam bulan dalam kandungan. Dikisahkan ketika baginda dilahirkan, Nabi SAW tidak menangis seperti bayi lain. Apabila Nabi berpaling ke arah Parsi, api sembahan kaum Majusi di Parsi (Iran) terpadam dengan tiba-tiba. Apabila berpaling ke arah ibu kota Rom, istana maharaja Rom bergegar, Raja Rom memerintahkan agar dicari dan dibunuh bayi berkenaan.

Perkara ajaib yang berlaku adalah mukjizat kenabian yang Allah tunjukkan bagi tujuan agar masyarakat Arab dan dunia memberi perhatian dan mengenali dengan Nabi Muhammad SAW. Ia juga sebagai suatu hikmah yang mana ia dapat menjawab segala tohmahan orientalis yang ingin merosakkan nama baik dan peribadi Nabi yang sebenarnya dipelihara oleh Allah sejak lahir lagi.

Siti Aminah, bonda Nabi ditakdirkan meninggal dunia ketika usia Nabi enam tahun. Kemudian baginda dipelihara datuknya Abdul Muttalib. Pada usia lapan tahun, Abdul Muttalib pula meninggal dunia dan Abu Talib, bapa saudara Nabi memeliharanya sehingga baginda meningkat dewasa dan membawanya ke Syam untuk berjumpa pendeta Nasrani, Buhara/Bahira serta melihat tanda nubuwah Nabi. Pendeta itu memperingatkan Abu Talib agar menjaga Muhammad daripada orang Yahudi dan Nasrani, jika mengetahuinya mereka akan membunuh anak saudaranya itu.
Pengajaran dan iktibar daripada kisah perjalanan hidup (sirah) Nabi Muhammad SAW ketika lahir dan dibesarkan oleh Abu Talib penuh dengan liku, menjadi anak yatim pada usia kecil memang satu dugaan besar. Ini membentuk jiwa yang kental, sabar dan tabah.

Mukjizat yang berlaku terhadap Nabi pada saat kelahirannya dan sepanjang zaman membuktikan bahawa Nabi akhir zaman itu sebagai pemimpin dan penyelamat umat manusia sejagat.

Memperingati ulang tahun kelahiran Nabi SAW memang digalakkan tetapi hendaklah bersesuaian dengan cara yang tidak bercanggah dengan syariat agama.
Hendaklah umat Islam mengikuti sunnahnya, bercakap benar (siddiq), beramanah (amanah), menyampaikan (tabligh) dan bijaksana (fatanah). Antara sunnah harian Nabi ialah membaca doa sebelum dan selepas makan. Membaca doa sebelum dan apabila bangun tidur. Membaca doa sebelum keluar dan ketika balik ke rumah. Masuk tandas dengan kaki kiri dan doa, keluar tandas dengan kaki kanan dan doa. Mengucup hujung jari selepas makan, membaca doa selepas wuduk, membaca doa semasa pergi ke masjid, masuk masjid dan keluar masjid, membaca doa ketika memulakan (menaiki) kenderaan.

Sirah Nabi ketika kecil tidak pernah menyembah berhala dan terbabit dalam kehidupan sosial Arab Jahiliah yang penuh kekufuran dan kesyirikan. Menyayangi orang miskin, ibu tunggal, anak yatim dan berusaha membantu mereka, selain menghindari semua kejahatan Jahiliah seperti judi, minuman keras dan sebagainya. Berkelakuan lemah lembut sehingga Baginda dikenali sebagai as-Siddiq (yang benar) dan al-Amin (yang dipercayai).

Nabi SAW pernah melihat Yahudi berpuasa asyura sempena memperingati kisah terselamatnya Nabi Musa daripada Firaun, dan bersabda : “Kami adalah lebih berhak daripada kamu mengenai Musa (amalan berpuasa).” Maknanya, Nabi sendiri memperingati peristiwa agama. Maka sudah tentulah kita umat Islam perlu mengingati kelahiran Nabi SAW.

Kita digalakkan memohon kepada Allah SWT agar diberi dorongan dan kekuatan untuk terus berusaha menjadi umat Nabi Muhammad SAW yang terbaik (khaira ummah) dan sebagai ummatan wasata (umat pilihan/umat teladan) dan menjadi saksi di antara sekalian umat manusia sejagat.

Firman Allah bermaksud: “Supaya Rasulullah (Muhammad) menjadi saksi yang menerangkan kebenaran perbuatan kamu dan supaya kamu pula layak menjadi orang yang memberi keterangan kepada umat manusia. Oleh itu dirikanlah sembahyang dan berilah zakat, serta berpegang teguhlah kamu kepada Allah. Dialah Pelindung kamu, dan Dialah sebaik-baik Pelindung dan sebaik-baik Pemberi pertolongan.” (Surah al-Hajj, ayat 78) Berita Harian Online | Nabi Muhammad penyelamat maruah wanita daripada kehinaan

Wednesday, February 2, 2011

Wednesday, December 22, 2010

LELAKI SOLEH

Lelaki soleh dapat didefinisikan sebagai seorang lelaki muslim yang beriman, bersih dari segi zahir dan batinnya serta sentiasa berusaha menjauhkan dirinya daripada perkara-perkara maksiat.

CIRI-CIRI LELAKI SOLEH :
1. Sentiasa taat kepada Allah SWT dan Rasulullah SAW.
2. Jihad Fisabilillah adalah matlamat dan program hidup
3. Mati syahid adalah cita-cita hidup.
4. Sabar dalam menghadapi ujian dan cabaran daripada Allah SWT
5. Ikhlas dalam beramal
6. Kampung akhirat menjadi tujuan utama hidupnya.
7. Sangat takut kepada ujian ALLAH SWT
8. Selalu bermohon ampun atas segala dosa-dosanya.
9. Zuhud dengan dunia tetapi tidak meninggalkannya.
10.Solat malam menjadi kebiasaannya.
11. Tawakkal penuh kepada Allah
12. Selalu berinfaq samada dalam keadaan senang mahupun sempit.
13. Menerapkan nilai kasih sayang sesama mukmin dan ukhwah diantara mereka.
14. Sangat kuat amar maaruf dan nahi mungkar.
15. Sangat kuat memegang amanah, janji dan kerahsiaan.
16. Pemaaf dan lapang dada serta tawadhuk penuh kepada Allah SWT.
17. Berkasih sayang dan penuh pengertian kepada keluarga.

TUGAS-TUGAS DAN KEWAJIPAN LELAKI SOLEH
1. Mencari nafkah
2. Berjihad fisabilillah
3. Melindungi dan membela kaum yang lemah dan tertindas
4. Memimpin, mendidik dan berlaku adil terhadap isteri