Saturday, September 4, 2010

HARI RAYA

"Selamat Hari Raya, maaf zahir batin", itulah kalimah yang sering terucap oleh kita tatkala menziarahi sanak saudara atau rakan taulan. Kadang kala terfikir dek fikiran adakah kalimah itu lahir dari hati atau sekadar ucapan yang telah menjadi kelaziman? Sebelum tiba hari raya kita sebok mengirim SMS kepada rakan taulan untuk mengucapkan selamat hari raya. Hanya dengan bantuan teknologi kiriman ucapan kita dapat diterima dengan lebih pantas. Zaman dahulu kita sebok memilih kad-kad hari raya untuk dikirim secara pos kepada kenalan kita.Namun bila dikenang kembali kiriman kad raya lebih memberi "sentuhan jiwa" kerana kad tersebut dapat disimpan sebagai kenang-kenangan atau dijadikan hiasan dinding berbanding kiriman SMS yang terpaksa kita padam sekiranya memori telefon bimbit penuh.

Kiriman SMS yang menarik dan masih saya simpan antaranya:
1. Dlm mesra mungkin terkasar bahasa,dlm bergurau mungkin terlanjur senda, dlm berjanji mungkin ada yng belum dikota, dlm berbicara mungkin ada yg menyinggung rasa, walau apapun maaf jua dipinta.
2. Yg jauh itu waktu, yg dekat itu mati,yg besar itu nafsu, yg berat itu amanah, yg mudah itu berbuat dosa, yg panjang itu amal soleh, yg indah itu saling memaafkan.
3. Katak kenyang lalu tertidur, gajah pitam lalu terjatuh, andai tak sampai tangan menghulur, keampunan dipohon dari jauh.
4. Satu Syawal menjelang tiba, takbir bergema menggegar jiwa, mana yang tersalah dan terkasar bahasa, maaf dipinta di hari mulia.
5.Walau langkah tak bertemu, tangan tak berjabat, ucap tak terdengar,mata tak bertatap, tapi izinkan hati memohon maaf zahir batin.Jika kesilapan semalam belum terampun"maafkanlah",jika kesilapan hari ini menyakitkan "lupakanlah",jika kesilapan esok mendatang janganlah dibawa ke akhirat.

Suasana hari raya juga telah banyak berbeza antara dahulu dan sekarang.Sekarang ramai kanak-kanak beraya untuk mengutip duit raya dari rumah ke rumah.Mungkin ibu bapa terlepas pandang untuk mendidik anak-anak adab ketika berada di rumah orang. Bagi golongan remaja pula lebih suka melepak di rumah menonton tv atau menonton wayang.Pihak penyiaran banyak menyajikan program dan cerita-cerita menarik untuk tontonan ramai. Bagi yang berkerjaya pula ada yang suka pergi melancong sewaktu cuti hari raya. Memang tak mustahil jika ramai yang masih tidak mengenali sanak saudaranya kecuali jika dibawa oleh ibu bapa mereka.

Begitu juga dengan kisah hariraya tahun ini kebahagiaanku apabila dapat berkumpul dengan adik beradik dan melihat anak-anak seronok ketika bersama sepupu-sepupu mereka. Namun di hati masih ada kesedihan kerana amat merindui ayah dan emak yang telah lama tiada...

PadaMu ku bersujud

Hari ini hari terakhir sebelum cuti sekolah dan cuti hari raya bermula.Dalam mengharungi kesesakan lalulintas aku melayan alunan lagu di radio. Secara tiba-tiba hatiku tersentuh bila mendengar lagu "PadaMu ku bersujud-Afgan".Terasa banyaknya dosa yang sengaja dan tidak sengaja telah kulakukan selama ini. Sebagai manusia biasa kita sering lalai dan terlupa tujuan asal kita hidup di dunia ini.Kadang kala disebabkan kekangan masa menyebabkan kita lebih mendahulukan urusan dunia berbanding urusan akhirat. Sehinggakan kita terlupa segala kurniaanNya. Terlalu banyak nikmat yang telah kita kecapi tanpa kita mensyukurinya.

"Wahai Tuhan kami, rahmat-Mu dan ilmu-Mu meliputi segala-galanya, maka berilah keampunan kepada orang-orang yang bertaubat serta mengikut jalan-Mu dan peliharalah mereka dari azab api neraka."
(Maksud ayat 7 Surah Al-Mukmin)

PadaMu ku bersujud
Ku menatap dalam gelap
tiada yang bisa kulihat
selain hanya namaMu Ya Allah

Esok ataukah nanti
ampuni semua salahku
lindungi aku dari
segala fitnah

Kau tempat ku meminta
Kau beriku bahagia
jadikan aku selamanya
hambaMu yang selalu bertaubat

ampuniku Ya Allah
yang sering melupakanMu
saat kau limpahkan
kurniaMu
dalam sunyi aku bersujud

Saturday, August 28, 2010

KELEBIHAN SEORANG WANITA SOLEHAH

Sekadar perkongsian ilmu untuk muhasabah diri.Adakah kita mampu mencapai taraf wanita solehah? "Wahai Tuhan kami, berikanlah kepada kami pahala yang telah Engkau janjikan kepada kami, melalui Rasul-rasulMu dan janganlah Engkau hina kami pada hari Kiamat. Sesungguhnya Engkau tidak memungkiri janji."(Maksud ayat 194 Surah Ali-Imran)

Seorang wanita solehah adalah lebih baik daripada 70 wali.Wanita yang melayan suami dengan baik akan mendapat pahala jihad. Wanita yang melihat suaminya dengan kasih sayang dan suami yang melihat isterinya dengan kasih sayang akan dipandang Allah dengan penuh rahmat.Wanita yang menyebabkan suaminya keluar dan berjuang ke jalan Allah dan kemudian menjaga adab rumahtangga akan masuk syurga 500 tahun lebih awal daripada suaminya.

Wanita yang habiskan malamnya dengan tidur yang tidak selesa kerana menjaga anaknya yang sakit akan diampunkan oleh Allah seluruh dosanya dan akan mendapat pahala seperti membebaskan 20 orang hamba.

Wanita yang menyapu lantai dengan berzikir akan mendapat pahala seperti menyapu lantai di Baitullah. Wanita yang menjaga solat, puasa dan taat pada suami , Allah akan mengizinkannya memasuki syurga dari mana-mana pintu yang dia suka.Wanita yang meninggal dunia dengan keredhaan suaminya akan memasuki syurga.Semua orang akan dipanggil untuk melihat wajah Allah di akhirat tetapi Allah akan datang sendiri kepada wanita yang menjaga auratnya di dunia dengan istiqamah.

5 RAHSIA PUASA

Dr Yusuf Qardawi dalam kitabnya "Al-Ibadah Fil Islam" mengungkapkan 5 rahsia utama puasa yang membolehkan kita merasakan kenikmatan dalam ibadah ini.

1.MENGUATKAN JIWA

Dengan berpuasa , manusia akan menguasai nafsunya yang membuatkan jiwanya menjadi kuat. Dengannya manusia memperolehi darjat tinggi serta menjadikannya mampu mengetuk dan membuka pintu langit hingga segala doanya dimakbulkan Allah.

Rasullullah bersabda yang bermaksud: " Ada tiga golongan yang tidak ditolak doa mereka, Orang yang berpuasa hingga berbuka, pemimpin yang adil dan doa orang yang dizalimi."(Hadis riwayat at-Tirmizi)

2.MENDIDIK KEINGINAN KEARAH KEBAIKAN

Puasa mendidik seseorang memiliki keinginan kepada kebaikan meskipun menghadapi pelbagai rintangan. Puasa yang dikerjakan secara terbaik memberi kekuatan rohani yang unggul supaya seseorang itu tidak akan lupa diri meskipun sudah mencapai kejayaan dan tidak berputus asa dengan penderitaan yang dialaminya.

3.MENYIHATKAN BADAN

Puasa memberikan pengaruh positif berupa kekuatan rohani dan kesihatan jasmani(tubuh dan anggota badan).Hal ini tidak hanya dinyatakan oleh Rasulullah malah dibuktikan oleh doktor atau ahli perubatan.

4.MENGENAL ERTI KENIKMATAN DAN BERSYUKUR

Dalam hidup ini terlalu banyak kenikmatan yang diberikan oleh Allah kepada manusia tetapi ramai yang tidak mensyukurinya.Maka berpuasa akan mendidik manusia menyedari betapa tingginya nilai kenikmatan yang Allah berikan supaya kita sentiasa menjadi orang yang pandai bersyukur dan tidak mengecilkan erti kenikmatan daripada Allah.

Allah telah berfirman yang bermaksud: "Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti Kami akan menambah(nikmat) kepadamu dan jika kamu mengingkari(nikmatKu) maka sesungguhnya azabKu sangat pedih."(Surah Ibrahim: ayat7)

5.MENGINGATI DAN MERASAI PENDERITAAN ORANG LAIN

Berlapar dan dahaga memberikan pengalaman bagaimana beratnya penderitaan yang dirasakan orang lain.Puasa juga akan melahirkan dan memantapkan rasa simpati kepada kaum muslimin lainnya yang hidup dalam kemiskinan dan menderita.Oleh itu sebagai simbol daripada rasa simpati itu, sebelum bulan Ramadan berakhir kita diwajibkan membayar zakat fitrah. Zakat bukan hanya menjaga kepentingan orang miskin tetapi menghilangkan kekotoran jiwa berkaitan harta seperti gila harta dan kikir.

Allah berfirman yang bermaksud: " Ambillah zakat daripada sebahagian harta mereka dengan zakat itu kamu membersih dan menyucikan mereka dan berdoalah untuk mereka. Sesungguhnya doa kamu itu menjadi ketenteraman jiwa bagi mereka. Dan Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui"( Surah At-Taubah: ayat 103)

Tuesday, August 17, 2010

KENANGAN BERPUASA



Melihat anak-anakku berpuasa teringat zaman kanak-kanak dahulu. Dahulu aku suka bermain dam dan penutup botol untuk menghabiskan masa sehari berpuasa. Sekarang anak-anakku leka melayari' game' di internet. Kadang-kadang sukar untuk menceritakan pengalaman lalu kepada anak-anak kerana mereka tidak merasai keseronokan mencipta permainan sendiri.

Kalau dahulu aku sanggup berpuasa penuh kerana takut pada ayah. Di samping itu menanti ganjaran 'bunga api' jika tamat sehari berpuasa. Alangkah seronoknya bila berbuka puasa, emak memasak makanan kegemaranku. Anak-anakku pula akan seronok jika aku membawa mereka ke Pasar Ramadan. Mereka amat gembira bila dapat membeli juadah yang mereka suka.

Aku melatih anak-anakku berjimat cermat ketika berbelanja kerana aku tak mahu mereka tidak menghargai rezeki yang ada di depan mata. Aku cuba mendidik mereka cara yang terbaik sebagaimana ibu bapaku mendidik aku dahulu. Biarpun aku orang susah, tapi jangan sampai meminta-minta. Berjimat sebelum habis, menyimpan ketika ada.

Monday, August 16, 2010

PERMATA HATI



Selamat Ulangtahun kelahiran ke 10 moga kau menjadi anak yang solehah. Itulah harapan ummi sejak kau dalam kandungan lagi. Begitu tinggi harapan ummi buatmu kerana terlalu banyak cabaran yang ummi lalui sepanjang menanti kelahiran "permata hati".

Setelah kau dilahirkan barulah senyap sedikit fitnah yang dilemparkan kepada kami. Apalah daya kami, semua orang mampu merancang tetapi perancangan Allah yang terbaik dan perlu kita syukuri . Semua pasangan yang berumahtangga inginkan cahayamata namun rezeki Allah yang tentukan.

Wahai anak-anakku jadilah anak yang menjadi ketenangan jiwa kami, pembawa bahagia di dunia dan akhirat. Teringat ummi akan nasihat ustaz suatu ketika dahulu iaitu "selalulah berdoa moga dikurniakan zuriat yang terbaik dan berkualiti".Sebenarnya Allah sayangkan hambaNYA, sebab itu kita terus diuji...

Surat terbuka buat Kak Wan Fauziah Wan Yusoff



Tahniah buat Kak Wan kerana dapat menamatkan perkhidmatan dengan jayanya.
Selamat bersara.

Saya berbangga dapat mengenali Kak Wan biarpun dalam tempoh yang terhad.Keramahan dan kemesraan yang terjalin hampir dua tahun membuatkan saya terasa seperti sudah lama mengenali Kak Wan.Terasa sedih untuk berpisah dengan Kak Wan yang banyak mencurahkan bakti untuk meningkatkan prestasi Ekonomi Asas sekolah kita. Namun saya tahu, saat bersara menjadi detik yang dinantikan setelah sekian lama berkhidmat sebagai guru.Sesungguhnya pertemuan dan perpisahan merupakan lumrah kehidupan yang harus lalui.Kini yang tinggal hanyalah kenangan terindah untuk dikongsi bersama.

Kak Wan begitu berfikiran positif. Biarpun telah ditawarkan jawatan sebagai pengetua namun Kak Wan rela melepaskan jawatan itu untuk menjadi guru biasa demi mendidik anak bangsa tercinta. Kak Wan juga pernah menjawat jawatan PK1 di sekolah lama tapi Kak Wan tidak lokek untuk berkongsi ilmu dan bekerja bersama saya walaupun saya lebih muda. Saya tahu dalam hidup kita perlu sanggup membuat pengorbanan.

Saya kagum dengan kesungguhan kak Wan untuk menyiapkan Modul Ekonomi Asas Tingkatan 4 sebelum berangkat ke Mekah. Walaupun sebok dan kurang sihat namun tetap berusaha menyiapkannya untuk digunakan sepenuhnya pada tahun 2010. Saya faham bukan mudah untuk mendekati pelajar 4C dan 4D, namun kecekalan Kak Wan mendidik mereka membuatkan saya terharu.

Pepatah sering menyatakan, "patah tumbuh, hilang berganti", namun sesuatu yang datang tidak sama dengan yang telah pergi.Didoakan moga Kak Wan lebih ceria dan bahagia bersama keluarga tersayang meneruskan kehidupan selepas bersara.

Wednesday, August 4, 2010

CINTA PADA KERJA

Kosmo 3/8/2010

Dalam mewujudkan persekitaran kerja yang kondusif dan membina reputasi yang cemerlang,perasaan cinta terhadap tugasan yang dilakukan adalah perkara utama.Sehubungan itu amat penting untuk memastikan persekitaran kerja memberikan kesan yang positif dan menyeronokkan. Mereka yang berjaya mengekalkan perasaan seronok, akan bekerja dengan lebih dedikasi dan sistematik seterusnya meningkatkan prestasi kerja dan organisasi.

Berikut beberapa langkah yang boleh dijadikan panduan kepada mereka yang telah kehilangan cinta terhadap kerja.

1.FOKUS
Harus fokus dan menyedari bahawa setiap pekerjaan yang dilakukan adalah amanah dan tanggungjawab .Tukarkan perkataan "Aku rasa letih hari ini" dengan "Aku sangat teruja untuk melakukan sesuatu hari ini"

2.POSITIFKAN MINDA
Anggaplah segala masalah sebagai cabaran dan satu proses pembelajaran dalam mendalami perkara yang belum diketahui.Dengan itu segala usaha dan kemampuan kita akan terdorong dalam menjayakan misi dengan lebih cepat dan mudah.

3.INGIN TAHU
Tanamkan niat setiap kali mahu bekerja dengan seronok.Kaji dan dalami kerja kita dengan rasa ingin tahu.Mungkin ada sesuatu yang akan menarik minat kita dan membuatkan kita merasa semangat untuk melakukan sesuatu tugasan yang diberikan.

4.MATLAMAT
Sebagai pekerja, kita harus menetapkan matlamat supaya lebih semangat dan bersungguh-sungguh dalam merealisasikannya.Melaluinya kita lebih fokus dan tidak leka dalam menjalankan tugas harian.

5. MEMILIH IDOLA
Pelajari dan tiru bagaimana idola anda boleh berjaya kemudian gabungkan dengan kemahiran yang ada pada diri sendiri.Tetapkan diminda bahawa satu hari nanti kita ingin mempunyai pencapaian yang setaraf atau lebih daripadanya.Ini akan membuatkan kita lebih bersemangat dalam tugasan harian.

Friday, July 30, 2010

BICARA HATI SEORANG PELAJAR

Telah ku habisi
siang-siang yang pergi
malam-malam yang lalu
bersama senyuman yang pedih
ketawa yang penuh duka
dalam sebuah penantian

Lalu kututup
diari seorang pelajar
yang cuma tertulis rahsia-rahsia lara
yang terselit sepi-sepi yang panjang
dan kuntum rindu yang telah hilang

Di daerah ini
telah kutumpahkan keringat bakti
bersama kasih yang tinggal saki-baki
dalam diri yang telah mati

Jauh dilubuk kalbu
berbisik syahdu suara hati
yang mengenali sebutir rasa
yang mengerti akan diri ini

Matiku...
tiada kesempatan sisa-sisa waktu
untuk sebuah pertemuan dalam perkenalan
kucium tangan kalian dalam bayangan rasa
dan kuhulur jejari kasar ini
tanda memohon kemaafan....

Wednesday, July 21, 2010

MENAJAMKAN KONSENTRASI

Konsentrasi membantu kita menumpu, memusat dan memfokuskan fikiran pada sesuatu perkara pada satu-satu masa sahaja. Kekuatan konsentrasi berkait rapat dengan daya mengingat dan berfikir. Meskipun ianya mengambil masa, ianya mampu meningkatkan nilai produktiviti individu pada masa akan datang.Kemampuan konsentrasi tidak dikaitkan dengan bakat yang diperolehi sejak lahir namun lebih kepada cara kita melatihnya.

Antara panduan untuk memperoleh kunci kejayaan dalam hidup.

1. Tetapkan sasaran
Menetapkan perkara yang ingin dicapai dalam tempoh masa tertentu. Ini memudahkan kita merancang tugas dan jadual harian. Seterusnya akan membangkitkan komitmen dan dapat membuat keputusan untuk menjayakan apa yang telah dirancang.

2. Turut serta
Cuba lakukan sesuatu yang dapat mendekatkan diri anda dengan sasaran yang dirancang. Selain itu cuba libatkan diri anda dengan masyarakat yang dapat membantu anda merealisasikan matlamat tersebut.

3. Berdialog dengan diri sendiri
Cuba beri ruang dan kesempatan untuk anda berkomunikasi dengan diri sendiri. Tanyakan pada diri, adakah masa yang digunakan dihargai sebaiknya? Ini semua mempunyai pengaruh kuat terhadap minda separa sedar seterusnya mampu membentuk imej kendiri sendiri.

4. Tanamkan minat
Dengan minat yang tinggi ianya memberi anda semangat dan peransang dalam mencari pelbagai sumber berkaitan bahan yang anda mahukan. Kemudian pupuk rasa tanggungjawab terhadap sesuatu yang anda lakukan. Secara tidak langsung ia memberikan anda kuasa dalam menjayakan misi anda.

5. Melatih fikiran
Untuk melatih fikiran lebih tajam, latih otak dengan permainan yang mampu merangsang otak kita seperti soduku. Aktiviti sebegini mampu mengembangkan kecerdasan dan daya fokus dalam membuat keputusan seterusnya meningkatkan daya ketahanan mental