DOA adalah antara ibadat sunat yang sangat dituntut supaya dilakukannya. . Kita dikehendaki berdoa untuk memohon sesuatu hajat tanpa mengira masa dan keadaan kerana mengharapkan pertolongan dan rahmat Allah. Pintu rahmat Allah sentiasa terbuka untuk hamba-Nya.
Pada hakikatnya, doa adalah penyataan hajat seorang hamba kepada Allah dan pengakuannya bahawa keupayaan dan kekuatan semata-mata milik Allah. Ia adalah lambang pengabdian dan rasa rendah diri dengan keagungan Allah yang menciptanya. Dalam doa juga terkandung pujian dan sandaran sifat pemurah dan penyayang kepada Allah SWT.
Dengan senjata (doa) itu, Nabi Noh terselamat, kaumnya yang kafir tenggelam dalam taufan. Nabi Musa terselamat daripada kezaliman Firaun laknatullah. Dengan senjata doa Nabi Soleh terselamat dan kaum Thamud binasa. Dengan doa Nabi Hud berjaya dan kaum A’ad kecundang dan dengan doa juga junjungan besar kita, Nabi Muhammad SAW menempa kejayaan gemilang dan kaum Musyrikin penentangnya tersungkur. Bangsa Rom dan Parsi juga tumbang di tangan sahabat Baginda, hasil daripada kekuatan senjata(doa) itu.
Abu Daud At-Tarmidzi dan Ibnu Majjah ada meriwayatkan yang maksudnya: “Daripada An-Nu’man bin Bashir, berkata Rasulullah SAW bersabda: Doa adalah ibadat. An-Nu’man menjelaskan lagi selepas itu Rasulullah SAW membaca ayat ke-60 daripada Surah Ghafir yang bermaksud: “Dan tuhan kamu berfirman: Berdoalah kamu kepadaku, nescaya aku akan perkenankan doa permohonan kamu. Sesungguhnya orang yang sombong takbur daripada beribadat dan berdoa kepada-Ku, akan masuk neraka jahanam dalam keadaan hina.”
Sebenarnya setiap doa pasti akan dikabulkan Allah SWT asalkan ia bertujuan baik, seperti mengharapkan kesejahteraan dunia dan akhirat, murah rezeki, kesihatan yang baik, tambahan ilmu yang baik, peningkatan iman dan sebagainya. Sebaliknya Islam sangat melarang dan mengharamkan doa yang bertujuan tidak baik, seperti minta dimatikan atau dibinasakan, kerana tidak mampu menghadapi dugaan Allah dan meminta Allah menurunkan bala’ ke atas orang yang didengkinya. Selain itu, kemuliaan doa juga, tidak boleh dicemarkan melalui upacara yang bertentangan dengan syariat Islam.
Antara waktu terbaik berdoa ke hadrat Ilahi seperti waktu berangkat ke medan perang untuk menegakkan atau mempertahankan agama Allah, ketika hujan, sewaktu berbuka puasa, dalam sujud dan dalam musafir yang bertujuan baik lagi diharuskan.
No comments:
Post a Comment