Sesungguhnya kenikmatan yang hakiki terletak pada perasaan puas terhadap apa yang ada serta bersyukur terhadap kurniaanNya.
Wednesday, April 6, 2011
LAMBAIAN TANAH SUCI
Masih terasa rindu dan sayu bila mengenangkan perjalanan semasa mengerjakan umrah. Bukan bertujuan untuk bermegah tetapi sekadar perkongsian catatan seorang hamba Allah yang datang ke Tanah Suci tetapi sarat dengan dosa .
Terasa amat terharu ketika Ustaz Ali ( Mutawwif Tiram Travel) memberikan taklimat dan mengingatkan para jemaah membetulkan niat bahawa kedatangan kita ke tanah suci adalah untuk beribadah kerana Allah. Oleh sebab itu bersyukurlah kerana terpilih dan bukannya kita datang kerana kemampuan kewangan kita. Beliau menasihatkan kami supaya sentiasa bersabar, berdoa dan bertawakkal dengan sebarang ujian ketika di tanah suci. Berderai air mata tatkala menghayati segala pesanan dari beliau. Waktu itu terasa begitu berat untuk meneruskan langkah apabila teringat akan segala dosa yang pernah dilakukan sama ada secara sengaja atau tidak. Memang sifat kita sebagai manusia selalu lupa dan lalai menjalankan kewajipan kepada Allah dan mensyukuri segala nikmatNYA. Hati semakin berdebar-debar memikirkan apakah ujian yang bakal diturunkan oleh Allah untuk menguji keimanan hambaNYA yang lemah.
Setibanya di Madinah, hati merasa kagum melihat keindahan bangunan Masjid Nabawi. Terasa perasaan bercampur baur antara rindu, sayu dan hiba dengan perjuangan Rasullullah yang sanggup berkorban nyawa asalkan syiar Islam terus berkembang. Terasa kerdil sangat diri ini kerana mengaku umat Rasulullah dan mengharapkan syafaatnya tetapi masih lalai dengan urusan dunia. Kehadiran umat Islam yang berpusu-pusu untuk mengerjakan solat Jumaat membuat hati ini terharu melihat umat Islam dari pelbagai negara mahupun bangsa datang dengan niat yang satu iaitu untuk mengabdikan diri pada Yang Esa. Di samping beribadah, aktiviti jual beli tetap meriah di luar waktu solat. Ketika waktu solat berjemaah berlangsung,semua premis perniagaan akan ditutup sementara waktu .Terdapat banyak barang jualan di niagakan antaranya jubah, minyak wangi dan sebagainya. Sepanjang berada di Madinah kami dibawa melawat persekitaran kota Madinah dan tempat bersejarah termasuk Masjid Quba,Masjid Qiblatain, Perkuburan para Syuhada, Pergunungan Uhud dan Pasar Kurma. Selepas tiga hari di Madinah, kami membuat Ziarah Wida' sebagai tanda hormat sebelum meninggalkan kota Madinah dan menuju ke Mekah untuk memulakan ibadah umrah .
Bermula di Miqat Bir Ali untuk solat sunat ihram dan berniat ihram, seterusnya menyempurnakan umrah dengan bimbingan Mutawwif. Apabila terpandang Kaabah dengan pantas airmata bercucuran kerana inilah kiblat umat Islam seluruh dunia. Inilah kebesaran Allah yang menyatukan hati-hati umat Islam dan terus melimpahkan rahmat kepada semua isi makhluk ciptaanNYA. Bila melihat jemaah lelaki memakai pakaian ihram, terbayang di mata inilah pakaian umat Islam di dalam kubur. Biarpun kaya dengan harta dunia tetapi ketika mati jasad hanya dibalut dengan kain putih sahaja. Tinggallah segala harta yang dihimpunkan semasa sehat untuk waris-warisnya. Sewaktu di Mekah kami dibawa melawat ke Hudaibiyah, Jabal Nur(Gua Hira'), Jabal Thur(Gua Thur), Jabal Rahmah, Padang Arafah, Mina, Muzdalifah dan Masjid Ja'aranah. Sepanjang lima hari di Mekah, kami diberi peluang mengerjakan umrah dengan bimbingan mutawwif atau secara sendirian. Keadaan yang sama seperti di Madinah, aktiviti jual beli diberhentikan seketika untuk menghormati lima waktu solat berjemaah di Masjidil Haram. Sebelum meninggalkan tanah Mekah, kami mengerjakan Tawaf Wida' secara berkumpulan.
Biarpun menghadapi pelbagai ujian yang datang sebelum, semasa dan selepas melaksanakan ibadah umrah, di hati tetap berdoa dan mengharapkan agar ibadah umrah semua jemaah akan di terima Allah. InsyaAllah
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment